Life is somehow no bed of roses to some of us.Learning to live a life would be needing a proper purpose and understanding.Let us join together within our level of experiences to know which path that might lead us to our real personality...=)
Saturday, December 26, 2009
Sekadar.....
Azrai, Noraini, Tokoh Santun
KUALA KANGSAR 20 Dis. - Bergelar anak yatim dan hidup dihimpit kemiskinan, bukanlah alasan untuk gagal dalam pelajaran.
Berbekalkan semangat dan kecekalan untuk 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah', mendorong Azrai Mohd. Noor, 21, belajar bersungguh-sungguh hingga mampu menjejakkan kaki ke menara gading.
Bagi anak muda berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, tiada apa yang mustahil untuk dicapai selagi ada kemahuan untuk berjaya dan mencipta kehidupan yang lebih baik demi masa depan.
''Saya tidak mahu menjadikan keadaan diri dan keluarga alasan untuk tidak berjaya dalam hidup," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas diumumkan Tokoh Skim Kecemerlangan Pelajar Miskin/Anak Yatim Nasional (Santun) 2009 kategori lelaki sempena majlis penutup program itu di sini malam tadi.
Azrai berkata, ibunya bekerja sebagai operator pembersihan bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga dan menanggung segala perbelanjaannya harian.
''Kalau hendak dihitung dengan pendapatan kecil ibu, mana cukup untuk menanggung kami seramai empat orang tetapi disebabkan kesedaran untuk mengubah nasib, menguatkan semangat saya untuk berjaya," katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Azrai berjaya membuktikan kesungguhannya apabila dia mencatat keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (5A), Penilaian Menengah Rendah (8A) dan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tuanku Mohamad, Kuala Pilah, Azrai kini mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam melalui tajaan biasiswa Kementerian Pelajaran.
Sementara itu, tokoh bagi kategori perempuan, dimenangi oleh Siti Noraini Baharuddin, l9, dari Jeli, Kelantan.
Siti Noraini juga berasal daripada keluarga miskin kini menuntut di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah.
''Santun sentiasa memberi bimbingan dan dorongan untuk anak-anak miskin seperti saya meneruskan kehidupan. Saya sangat bersyukur kerana masih ada pihak yang mengambil berat nasib golongan seperti kami," katanya.
Siti Noraini berkata, kejayaan terpilih sebagai Tokoh Santun akan menyuntik semangatnya untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.
Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menutup program itu.
Program empat hari anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) itu berlangsung di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Desa Rimba, Sauk.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Yapeim, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Yapeim, Dr. Abdul Malik Awang Kechil.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1221&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_35.htm&arc=hive
Subscribe to:
Posts (Atom)